Saturday, August 21, 2010

KESEIMBANGAN ALAM SEKITAR



         Keseimbangan alam bermaksud keadaan di mana interaksi antara organisma atau antara organisma dengan alam sekitar. Keseimbangan ini dapat mengekalkan kehidupan. Untuk mencapai keseimbangan alam, peranan kitar semula jadi amatlah penting. Antara kitar semula jadi tersebut adalah kitar karbon, kitar nitrogen, kitar air.
         
          Kesemua kitar semula jadi itu membolehkan organisma terus hidup dan beranak. Dalam kitar nitrogen, nitrogen digunakan untuk membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Dalam kitar karbon pula, karbon dioksida yang terbebas semasa respirasi digunakan oleh tumbuhan. Tumbuhan pula mengeluarkan makanan dan sumber oksigen untuk haiwan. Dalam kitar air pula, air tersejat dari proses transpirasi tumbuhan dan respirasi haiwan. Air yang tersejat ini membentuk awan dan turun semula ke bumi sebagai hujan.
        
          Selain dari keseimbangan alam, kita juga sering diancam oleh bencana alam. Letupan gunung berapi, gempa bumi, kemarau, Kebakaran hutan, banjir dan taufan boleh menyebabkan keseimbangan alam tergugat. Antara kesan bencana alam ini ialah merosakkan habitat, menyebabkan kematian haiwan dan tumbuhan, mengganggu kitar semula jadi dan pencemaran alam sekitar.
          
          Selain daripada bencana alam, manusia juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil seperti petrol dan diesel menyebabkan pencemaran udara yang teruk. Hasil pembakaran bahan api fosil menghasilkan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dioksida. Kilang-kilang yang didirikan boleh menghasilkan sisa toksik yang beracun seperti bahan buangan radioaktif dan merkuri.
          
          Dalam industri pertanian pula, penggunaan racun yang berleluasa boleh mengancam keselamatan alam sekitar. Insektisid racun serangga boleh masuk ke rantai makanan. Sumber makanan seperti daging dan ikan mengandungi racun serangga yang seterusnya akan di makan oleh manusia.
          
          Akibat pencemaran yang teruk, pelbagai isu berkaitan dengan alam sekitar timbul. Antaranya ialah pemanasan global, dimana suhu bumi kita meningkat akibat daripada peningkatan gas karbon dioksida diatmosfera. Gas ini memerangkap haba dan menyebabkan suhu di bumi meningkat. Fenomena ini juga dikenali sebagai Kesan Rumah Hijau. Seterusnya ialah penipisan lapisan ozon- Gas Klorofluorokarbon (CFC) yang digunakan dalam peti sejuk dan aerosol bertindak balas dengan lapisan ozon dan seterusnya menipiskannya. Penipisan ini menyebabkan sinaran UV matahari menembusi atmosfera dan menyebabkan penyakit kulit.
          
          Di Malaysia , pemusnahan habitat dan pencemaran alam sekitar mengancam banyak spesies hidupan.  Antaranya ialah spesies tumbuhan yang dikenali dan belum dikenali dalam hutan hujan tropika seperti bunga pakma, orkid - orkid liar dan pisang liar. Seterusnya ialah burung-burung misalnya burung enggang, bangau dan helang bahu hitam serta haiwan misalnya tapir, harimau, badak Sumatera, orang utan, siamang , lutong , dan ular sawa. Tambahan pula  ialah serangga dan penyu misalnya penyu belimbing dan penyu hijau. Contoh hidupan lain di dunia yang menghadapi kepupusan adalah panda gergasi hanya terdapat di satu kawasan kecil di China. Kini, terdapat kurang 200 ekor yang masih tinggal .Seterusnya ialah gorila gunung Afrika Barat juga terancam dengan kepupusan kerana pemusnahan habitatnya akibat aktiviti pertanian serta diburu untuk bulu dan untuk dijadikan ubat-ubatan .Akhirnya ialah ikan paus biru, haiwan yang terbesar, terancam dengan kepupusan kerana diburu untuk daging dan lemaknya.
             
          Pemeliharaan dan Pemulihan Haiwan dan Tumbuhan adalah penting kerana berkaitan dengan keseimbangan persekitran kita. Hal ini kerana manusia bergantung pada tumbuhan dan haiwan untuk makanannya .Masih banyak spesies tumbuhan dan haiwan yang belum diterokai tetapi berpotensi untuk membekalkan makanan kepada populasi manusia dunia yang semakin meningkat . Seterusnya, semua ubat-ubat tradisi dan sebahagian besar daripada bahan kimia ubat moden diperoleh daripada haiwan dan tumbuhan. Masih terdapat banyak spesies tumbuhan dan haiwan yang belum sempat dikaji tetapi mempunyai potensi untuk merawat penyakit-penyakit seperti barah , AIDS dan sebagainya . Haiwan dan tumbuhan juga merupakan sumber bahan mentah. Sebagai contohnya Kayu balak merupakan satu sumber yang sangat penting dalam pembinaan rumah dan perabot serta membuat kertas.Selain itu, hasil keluaran seperti kulit haiwan, madu, rotan, damar dan sebagainya berasal daripada tumbuhan dan haiwan.      
          
          Tumbuhan dan haiwan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam siratan makanan dan keseimbangan alam . Antaranya ialah tumbuhan hijau menolong mengekalkan kandugan gas oksigen dalam atmosfera yang perlu untuk haiwan dan manusia bernafas . Sebaliknya haiwan dan manusia membebaskan gas karbon diosida yang diperlukan oleh tumbuhan dalam fotosintesis . Seterusnya, tumbuhan menapis kebanyakan debu dalam udara serta menyerap gas karbon dioksida dan dengan itu membantu mengawal pencemaran udara . Selain itu, tumbuhan memperlahankan aliran air hujan dan dengan itu mengelakkan banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh daripada berlaku semasa hujan turun serta melindungi permukaan bumi daripada sinaran langsung cahaya matahari, dapat mengurangkan penyejatan air dan membantu menyejukkan permukaan bumi . Tumbuhan dalam hutan hujan merupakan kawasan tadahan air yang sangat penting untuk mengisi empangan dan membekalkan keperluan air kepada manusia. Kepelbagaian haiwan dan tumbuhan mengekalkan keindahan semula jadi alam sekitar untuk aktiviti riadah dan rekreasi manusia , juga ia menjadi satu daya tarikan kepada pelancong dan menyumbang kepada ekonomi negara. Selain itu, hasil keluaran tumbuhan dan haiwan seperti hasil tanaman, hasil tangkapan ikan, kayu balak, damar, ubat-ubatan, kulit dan sebagainya memberikan pendapatan kepada negara .
         
          Kesimpulannya, kita harus mengubah sikap kita supaya kehidupan kita akan lebih sejahtera jika kita hidup dalam alam sekitar yang bersih dan sihat. Setiap orang yang inginkan kehidupan yang lebih sejahtera harus memainkan peranan yang proaktif untuk memelihara dan mengekalkan keseimbangan alam sekitar. 

DISEDIAKAN OLEH : JACKY CHAN CHOON KEONG

3 comments: